Berita Utama

Ikmalrudin dilantik sebagai Setiausaha SPR

Gantikan Datuk Mohamed Elias Abu Bakar bersara wajib

PUTRAJAYA, 17 Syawal 1441H, Selasa – Ikmalrudin Ishak dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuat kuasa 5 Jun, menggantikan Datuk Mohamed Elias Abu Bakar yang bersara wajib pada 30 Mei, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini.

Beliau berkata Ikmalrudin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan, perolehan, pengurusan Parlimen dan urusan pilihan raya.

“Semoga dengan pelantikan ini, beliau akan dapat memimpin Urusetia SPR dalam merancang, penyelaras dan melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan SPR dengan cekap dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sosiologi/Antropologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 24 tahun dengan jawatan pertamanya sebagai Penolong Pengarah (Jabatan Agama Islam) di Jabatan Perdana Menteri pada 1 Mac 1996.

Antaranya, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian (Pengurusan Dewan Parlimen), Timbalan Setiausaha (Pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya) dan Pengarah SPR Negeri Selangor.

Mohd Zuki bagi pihak kerajaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Elias atas jasa dan khidmat bakti kepada negara sebagai penjawat awam selama 37 tahun. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button