Berita UtamaDunia

Iran mahu rakyat pakai topeng muka, elak gelombong baharu

Bimbang COVID-19 mengganas jika rakyat tak jaga jarak sosial

TEHRAN, 17 Syawal 1441H, Isnin – Kementerian Kesihatan Iran menggesa orang ramai memakai topeng muka di tempat awam, berikutan amaran bahawa negara itu dijangka menghadapi gelombang baru pandemik COVID-19, lapor Reuters.

Pegawai kesihatan berkata, negara itu mungkin berdepan gelombang jangkitan novel coronavirus kedua yang lebih kuat jika orang ramai mengabaikan peraturan jarak sosial.

Sehingga semalam angka kematian COVID-19 di Iran mencecah 8,351 orang, dengan 70 kematian terbaharu dalam 24 jam sebelumnya, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianush Jahanpur. 

Jumlah kes baru menurun kepada 2,043, katanya, menjadikan jumlah keseluruhan 173,832.

“Setiap orang harus memakai topeng muka ketika berada di tempat-tempat awam seperti kedai atau tempat lain di mana tidak dapat dilaksanakan penjarakan sosial sepenuhnya,” kata Jahanpur.

Dengan 3,574 jangkitan baru, Iran mencatat jumlah kes tertinggi dalam satu hari Khamis lalu. Pihak berkuasa mengatakan ujian yang lebih luas mungkin menjadi alasan peningkatan jumlah kes yang dilaporkan.

Iran mengenakan sekatan untuk mengekang penyebaran COVID-19 pada pertengahan April. Ia mulai melonggarkannya setelah jumlah kematian setiap hari dan kes yang dijangkiti turun. 

Tetapi kadar jangkitan dilaporkan meningkat lagi pada bulan Mei, dan pemerintah telah dipaksa untuk mengenakan sekatan di beberapa wilayah setelah wabak setempat melanda. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button