Berita Utama

KKM kesan 3 produk kosmetik beracun

Produk terkandung merkuri boleh rosakkan buah pinggang, saraf

BANGI, 17 Syawal 1441H, Selasa – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri.

Tiga produk berkenaan adalah Glow Skin White – Brightening Cream, Glow Skin White – Sun Care dan Rzac Beauty Creme 2. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. 

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. 

“Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Justeru, Dr Noor Hisham menggesa penjual dan pengedar produk terbabit supaya menghentikan penjualan serta pengedarannya serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama. 

Bagi kesalahan berikutnya, katanya lagi, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanyan dan denda sehingga RM100,000 untuk syarikat yang melakukan kesalahan sama.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button