Lapangan terbang Baghdad dibedil serangan roket
AS tuduh kumpulan bersenjata disokong Iran jadi dalang

BAGHDAD, 17 Syawal 1441H, Selasa – Sebuah roket telah membedil Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada Isnin, dipercayai sebagai serangan lain ke atas pasukan Amerika Syarikat (AS).
Menurut pegawai keselamatan, serangan berkenaan tidak menyebabkan sebarang korban atau kerosakan memandangkan lapangan terbang berkenaan ditutup susulan langkah pencegahan wabak pandemik COVID-19 – yang kini merekodkan 13,000 kes dengan 400 kematian.
Pasukan keselamatan telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti dalang serangan.
Difahamkan, serangan itu berlaku berhampiran ibu pejabat pasukan gabungan yang diketuai AS.
Serangan itu adalah yang pertama menyasarkan lapangan terbang sejak 6 Mei ketika tiga roket Katyusha menyerang berhampiran sektor ketenteraan. Serangan itu juga tidak menyebabkan sebarang kematian.
Serangan berkenaan adalah yang ke-29 disasarkan terhadap tentera atau diplomat AS sejak Oktober lalu.
Bagaimanapun tiada pihak mengaku bertanggungjawab, namun Washington menuduh kumpulan bersenjata yang disokong oleh musuhnya dan jiran Iraq iaitu Iran. – Agensi