Berita Utama

Mesyuarat Majlis Presiden PH: Semua pemimpin kunci mulut

Dipengerusikan Anwar libat perbincangan pendirian setiap parti

PETALING JAYA, 17 Syawal 1441H, Selasa – Semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH mengunci mulut mengenai mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat PKR.

Apabila ditanya mengenai perincian mesyuarat tersebut, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mendedahkan sebarang perincian.

Astro Awani melaporkan, beliau diikuti Senator Datuk Wira Marzuki Yahya, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohammad Sabu yang dilihat meninggalkan ibu pejabat di Petaling Jaya ini pada sekitar 6:15 petang.

Bagaimanapun, satu kenyataan bersama PH, Bersatu dan Warisan yang dikeluarkan sejurus mesyuarat tersebut berakhir mengatakan bahawa mesyuarat yang dipengerusikan Anwar itu menyaksikan perbincangan secara menyeluruh tentang pendirian setiap parti dan menampakkan kemajuan yang amat positif.

Menurut kenyataan itu lagi, proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini.

Mesyuarat tergempar tersebut berlangsung selama tiga jam sejak 3 petang.

Sebelum ini, sumber dalaman PH mendedahkan bahawa Dr Mahathir dan Anwar difahamkan akan memuktamadkan usaha PH mengambil alih kerajaan yang kini diterajui Perikatan Nasional (PN).

Spekulasi PH cuba untuk mengambil alih kerajaan yang diterajui PN bertiup kencang sejak beberapa minggu yang lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close