Berita UtamaUncategorized

PM 100 hari: Kepimpinan Muhyiddin bantu ekonomi harungi badai

Usaha dwipartisan perangi COVID-19 sumbang kepada kejayaan

KUALA LUMPUR, 17 Syawal 1441H, Selasa – Di sebalik cabaran yang dibawa oleh pandemik global serta pergolakan politik tempatan yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi Malaysia, kepimpinan unggul yang dipamerkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membantu negara mengharungi badai ini dengan jayanya.

Prof Madya Dr Md Daud Ismail, Timbalan Dekan Jaringan dan Penjanaan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata memandangkan negara mempunyai dasar ekonomi terbuka dan pertumbuhan beroreintasikan eksport; Malaysia berdepan dengan cabaran yang lebih besar disebabkan perubahan kuasa politik dalam kerajaan di tengah-tengah usaha membendung pandemik COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan global.

Bagaimanapun, usaha dwipartisan Malaysia dalam memerangi COVID-19, yang diterajui Muhyiddin, banyak menyumbang kepada kejayaan ekonomi kita yang mencatatkan prestasi lebih baik berbanding banyak negara lain.

“Melihat kepada apa yang berlaku di Malaysia dan negara-negara lain yang mempunyai isu krisis kesihatan dan politik yang sama, tempoh 100 hari ini berjalan dengan sangat lancar dari segi kerajaan menguruskan negara.

“Kebanyakan rakyat Malaysia kecuali mungkin segelintir, tenang dan sabar berdepan dengan krisis meskipun berlakunya peningkatan kadar pengangguran dan penutupan operasi perniagaan serta gangguan dalam kehidupan harian mereka yang seterusnya membawa kepada gaya hidup normal baharu.

“Semua usaha yang dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari pentadbiran Muhyiddin dapat menyediakan platform bagi ekonomi yang lebih baik pada masa depan,” katanya kepada Bernama semasa diminta mengulas mengenai tempoh 100 hari pentadbiran Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Muhyiddin, 72, yang juga merupakan Presiden Parti Bersatu, mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 1 Mac, 2020, susulan peletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad pada 24 Februari.

Md Daud berkata senario politik di Malaysia agak tenang dan tidak membawa sebarang ancaman besar serta gangguan kepada usaha memerangi COVID-19.

Keupayaan menjalin kerjasama yang efisien antara sektor, agensi, parti politik dan individu meskipun berlainan latar belakang, memacu pasukan ke arah tujuan yang sama serta menyampaikan inisiatif dan dasar dengan berkesan kepada rakyat merupakan antara ciri-ciri utama kerajaan sekarang yang dipimpin oleh perdana menteri, katanya.

“Ini merupakan pencapaian utama bagi perdana menteri dalam tempoh 100 hari beliau mentadbir negara,” ujarnya.

Susulan nasihat daripada pakar kesihatan, kerajaan telah memperkenalkan beberapa insiatif dan dasar bagi mengawal pergerakan orang ramai untuk membendung penularan COVID-19.

Dari segi pelaksanaan dasar, penyelarasan antara pelbagai kementerian dan agensi kerajaan sangat lancar dan berkesan, disokong oleh saluran komunikasi yang cekap dan berpusat yang dapat menghantar mesej yang disasarkan kepada rakyat secara efektif .

Kerajaan juga mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM260 bilion yang bertujuan melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan mengukuhkan ekonomi.

Md Daud berkata pakej ekonomi ini setanding dengan pakej rangsangan yang sama yang diperkenalkan oleh ekonomi lebih maju. Meskipun beberapa industri seperti pelancongan hanya menerima sedikit manfaat daripadanya, bagi banyak sektor ekonomi lain pakej rangsangan ini merupakan satu kelegaaan kepada mereka.

Pada 6 Jun, kerajaan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan komprehensif dinamakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang mengandungi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion untuk memperkasakan rakyat, merangsang perniagaan dan merancakkan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button