Berita Utama

Semua mahkamah beroperasi sepenuhnya mulai 1 Julai

Arahan pembukaan telah dikeluarkan oleh Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA, 17 Syawal 1441H, Selasa – Semua mahkamah di seluruh negara akan beroperasi semula secara sepenuhnya mulai 1 Julai ini, menurut Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP).

PKPMP menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan arahan pembukaan semula mahkamah itu telah dikeluarkan oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Menurutnya ia berdasarkan perutusan khas oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang membolehkan semua aktiviti sosial, pendidikan, keagaamaan, perniagaan dan sektor ekonomi beroperasi semula secara berperingkat.

Menurut PKPMP, Badan Kehakiman Malaysia sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan keadilan diteruskan.

“Namun pada masa yang sama, Badan Kehakiman akan memastikan segala garis panduan keselamatan dan kesihatan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa dipatuhi bagi mencegah penularan wabak COVID-19 semasa menjalankan operasi mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, semua mahkamah di seluruh negara ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Kes-kes mahkamah yang telah ditetapkan untuk pendengaran di mahkamah terbuka telah bermula secara berperingkat mulai 13 Mei lepas.

PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close