Berita Utama

SPR pamer RDPT di 925 lokasi mulai 10 Jun ini

80,766 permohonan pendaftaran pemilih baru dicatat suku tahun pertama

BANGI, 17 Syawal 1441H, Selasa – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun Pertama 2020 (ST1/2020), mulai 10 hingga 23 Jun ini di 915 tempat pameran di seluruh negara. 

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, RDPT itu mengandungi 80,766 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak dan 18,989 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon sepanjang tempoh antara 1 Januari hingga 31 Mac 2020. 

Beliau berkata, SPR tidak meletakkan salinan buku atau hardcopy RDPT di 915 tempat pameran, sebaliknya hanya meletakkan sehelai notis bersaiz A4 yang mengandungi Kod QR RDPT bagi bahagian pilihan raya Parlimen yang berkenaan sahaja. 

“Kaedah ini adalah untuk mengelakkan orang ramai menyemak nama dalam RDPT dengan menyentuh buku RDPT yang seterusnya boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19. 

“Semua pemohon dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dam RDPT ST1/2020. Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam RDPT ST1/2020, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Azhar berkata, bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST1/2020, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Beliau berkata, Borang B dan Borang C boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat sepanjang tempoh pameran RPDT diadakan. 

“Semasa tempoh Pameran RPDT ST1/2020, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. 

“Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST1/2020 boleh menghubungi talian hotline SPR di  03-88927018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button