Berita Utama

Surau di pusat beli-belah, RNR dibuka semula esok

Gerai di kawasan R&R juga dibenarkan beroperasi seperti biasa

PUTRAJAYA, 17 Syawal 1441H, Selasa – Kerajaan hari ini memutuskan untuk membenarkan surau-surau di pusat beli-belah dan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dibuka semula bermula esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pembukaan ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, dan kepada mereka yang ingin menunaikan ibadat solat di surau-surau, perlulah mengamalkan disiplin diri dan jarakan sosial.

“Gerai-gerai di kawasan R&R juga dibenarkan untuk beroperasi,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat khas juga bersetuju untuk membenarkan restoran, gerai-gerai makan, semua perniagaan menjual makanan, kedai-kedai serbaneka dan runcit, untuk beroperasi sehingga 12 malam.

Namun begitu beliau berkata, adalah ditegaskan bahawa jarakan sosial dan amalan kebersihan diri, perlu diamalkan sentiasa.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula Zoo Negara dan zoo-zoo lain, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula esok sehingga 31 Ogos ini.

Menurutnya, ini kerana kerajaan telah menerima pembentangan mengenai SOP yang telah dibangunkan, pentadbiran zoo masing-masing.

Ketika ditanya mengenai pembukaan pusat seni, Ismail Sabri berkata, hal tersebut akan dibincang dan dibentangkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Khamis ini untuk keputusan selanjutya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button