Berita Utama

Tarikh buka semula sekolah dijangka diketahui esok

Petang ini, keputusan penting akan dicapai bersama KKM, MKN

IPOH, 17 Syawal 1441H, Selasa – Tarikh pembukaan semula sesi persekolahan melibatkan 398,446 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dijangka diketahui esok.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya berkata keputusan itu akan diketahui melalui mesyuarat antara Kementerian Pendidikan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipengerusikan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, petang ini.

“Pada petang ini, rasanya keputusan paling penting akan dicapai bersama KKM dan MKN, dan esok andai kata diputuskan bila (tarikh pembukaan sekolah), kita mungkin dapat mengetahui bila sesi sekolah akan mula dibuka.

“Namun, sekolah hanya akan dibuka selepas dua minggu pengumuman (pembukaan sekolah) dibuat. Selagi tiada pengumuman, selagi itu tiada sekolah akan dibuka,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Permaisuri Bainun, di sini hari ini.

Beliau berkata pada peringkat pertama, pembukaan semula sesi persekolahan akan melibatkan 347,177 pelajar yang akan menduduki SPM, 2,935 (SVM), 2,738 (STAM) dan 45,596 (STPM). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button