Berita Utama

Anwar kata lawatan ke China bawa pulangan besar pada negara

Kerjasama strategik bidang politik, perdagangan dan pelaburan

BEIJING, 11 Ramadan 1444H, Ahad – Malaysia dan China bersetuju untuk memantapkan dan membawa  hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi, dipacu dengan kerjasama lebih mendalam dan bermakna dalam pelbagai aspek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama strategik ini merangkumi antaranya bidang politik, perdagangan dan pelaburan. 

Beliau turut menyifatkan lawatan rasmi sulungnya ke China sebagai satu pencapaian yang membawa manfaat besar kepada negara dan rakyat Malaysia. 

Menurut beliau, tumpuan yang diberikan oleh pihak kerajaan dan pemimpin China serta sambutan daripada tokoh-tokoh perniagaan dan industri China terhadap lawatannya ini menunjukkan keakraban hubungan kedua-dua negara.

“Sambutan dan tumpuan yang diterima hebat dan luar biasa. Saya anggap ini satu perkembangan sangat positif. Kunjungan ini memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia,” katanya. 

Perdana Menteri berkata, semasa pertemuan beliau dengan Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatan Li Qiang, kedua-dua pihak bersetuju untuk merancakkan hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) termasuk mempercepatkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam projek usahasama, beliau berkata, China bersetuju untuk menggunakan tenaga kerja mahir dan profesional tempatan berbanding amalan sebelumnya. 

“Mereka bersetuju untuk menggunakan tenaga kerja tempatan. Hanya untuk bidang-bidang pengkhususan yang tidak terdapat di Malaysia, mereka akan bawa masuk dari China. 

Ini akan terpakai ke atas semua projek-projek lain,” kata beliau. 

Anwar berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka bidang-bidang kerjasama baharu termasuk pembuatan kereta generasi baharu serta industri halal. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button