Berita Utama

Tiada keperluan Menteri Mentor diwujudkan

Posisi hanya tambah saiz Kabinet baharu, kata penganalisis

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Muharram 1443H, Jumaat – Tiada keperluan untuk posisi Menteri Mentor diwujudkan, sekiranya kerajaan baharu yang mungkin bakal dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terbentuk.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Kabinet baharu yang dibentuk itu berkemungkinan dianggotai oleh pemimpin yang bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Beliau berkata, jika merujuk pada jumlah 70 Jemaah Menteri terdahulu dan bilangan itu kekal dalam kerajaan baharu, maka tidak mustahil kewujudan Menteri Mentor akan menambahkan lagi saiz Kabinet.

“Isunya adalah, apakah jawatan Menteri Mentor ini termasuk dalam Kabinet atau tidak? Itu yang kita mahu pastikan.

“Jika tengok amalan di Singapura, Menteri Mentor Lim Kuan Yew memang berperanan seolah-olah sebahagian daripada kerajaan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, wujud desas-desus dalam kalangan ahli politik bahawa Muhyiddin mungkin menjadi menteri pembimbing jika Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri.

Jawatan itu dikatakan akan diwujudkan untuk mencapai jalan tengah antara calon Perdana Menteri dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengukuhkan sokongan.

Dr Nik Ahmad Kamal berkata, jawatan Menteri Mentor itu mungkin penting bagi pandangan PN, sebagai mengenang jasa Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memulakan PN dan membawa gabungan itu ke tahap sekarang.

“Ini satu cara untuk mendapatkan khidmat beliau yang penuh pengalaman, cuma ramai berpandangan bahawa keperluan untuk ramai jemaah menteri itu.

“Kenapa perlu tambah lagi menteri mentor sedangkan Muhyiddin boleh dirujuk pada bila-bila masa kerana beliau Presiden Bersatu dan dianggap senior dalam pentadbiran, maka kenapa perlu ada jawatan formal untuk beliau?

“Namun, itu terserah kepada PM baharu nanti, apa yang difikirkan terbaik untuk Kabinet dan kerajaannya nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button