Berita Utama

Aliran trafik rentas negeri lancar

Mungkin ada penambahan berperingkat hingga hujung minggu

KUALA LUMPUR, 18 Syawal 1441, Rabu – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa hari ini yang membenarkan pergerakan rentas negeri menyaksikan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dan kawasan plaza tol menghala keluar dari ibu negara lancar pagi tadi.

Tinjauan Bernama mendapati pergerakan trafik di Plaza Tol Jalan Duta arah utara, Plaza Tol Sungai Besi arah selatan dan Plaza Tol Gombak lancar setakat pukul 11.30 pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata penambahan kenderaan mungkin berlaku secara berperingkat sehingga hujung minggu ini susulan kebenaran rentas negeri yang diumunkan kerajaan.

“Mungkin ada penambahan secara berperingkat hinggalah ke hujung minggu ini kerana sekian lama terkurung dan ingin berkunjung ke rumah orang-orang yang disayangi.

“Tetapi syarat-syarat PKPP seperti penjarakan sosial dan jumlah tertentu perlu dipatuhi kerana pasukan pemantau polis masih mengawal dan mengawasi prosedur operasi standard ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Azisman turut menasihatkan orang ramai untuk tidak terlalu ghairah pulang ke kampung sekiranya tiada keperluan.

Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang.

“Undang-undang dan peraturan jalan raya jangan diabaikan, elakkan daripada memandu laju, melanggar lampu merah, memotong barisan atau di lorong kecemasan kerana polis tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan saman atau gunakan kamera perangkap had laju yang sentiasa ada di mana-mana,” katanya.

PKPP perlu dipatuhi dengan amalan kebiasaan baharu kerana pandemik COVID 19 masih belum bebas sepenuhnya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, lebuh raya utama seperti Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2, serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) masih lancar dan tiada kesesakan dilaporkan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kawasan dilaporkan mengalami aliran trafik tinggi iaitu dari Gopeng ke Simpang Pulai, Bertam ke Sungai Petani (Selatan), Ayer Keroh ke Jasin dan Senai menghala Kulai.

“Setakat pagi ini, aliran trafik lancar termasuk menghala ke Pantai Timur negara, ” katanya.

Ahad lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam perutusan khas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan digantikan dengan PKPP mulai 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri selain banyak lagi aktiviti yang dilarang ketika PKPB dibenarkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button