Berita UtamaDunia

Bangladesh enggan terima Rohingya ditahan di Malaysia

Dakwa tidak mempunyai kewajipan untuk terima pelarian

DHAKA, 18 Syawal 1441, Rabu – Bangladesh pada Selasa berkata, pihaknya menolak untuk menerima semula 269 pelarian Rohingya yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.

“Bangladesh tidak akan menerimanya. Bangladesh tidak mempunyai kewajipan atau berada dalam posisi untuk menerima pelarian Rohingya lagi,” kata Menteri Luar AK Abdul Momen kepada agensi berita Anadolu.

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin menahan 269 pelarian Rohingya dan turut menemukan mayat di atas bot yang rosak di luar pulau peranginan Langkawi.

Tambah beliau, Rohingya bukan warga Bangladesh, mereka penduduk Myanmar.

Beliau menyeru negara-negara lain turut sama menerima pelarian Rohingya dan beban itu bukan hanya perlu ditanggung Bangladesh sendirian.

“Kita mengalu-alukan negara lain mengambil mereka dan memindahkan 1.1 juta Rohingya yang kini berlindung sementara di Bangladesh,” kata Momen.

Sementara itu, dua lagi pelarian Rohingya di kem sementara di Cox’s Bazar meninggal dunia pada Selasa akibat COVID-19, sehingga kini seramai tiga orang telah maut.

“Hari ini (Selasa), dua lagi kematian dan enam kes dilaporkan. Jumlah pelarian yang dijangkiti ialah 35 orang,” kata seorang pegawai Mahbub Alam Talukder.

Beliau berkata lebih 20,000 Rohingya dilaporkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang berlindung di khemah yang sama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button