Berita Utama

Johor benarkan solat Jumaat, fardu berjemaah mulai 12 Jun

Jumlah jemaah dihadkan 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid

JOHOR BAHRU, 18 Syawal 1441H, Rabu – Semua 836 masjid, 92 surau Jumaat dan 1,951 surau kariah di negeri ini akan dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu berjemaah, berkuat kuasa Jumaat ini (12 Jun).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, kebenaran itu adalah susulan titah dan perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Bagaimanapun, jumlah jemaah dihadkan kepada 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid, surau Jumaat dan surau solat fardu.

“Setakat ini keutamaan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu hanya diberikan kepada warganegara, dengan jemaah harus mengisi borang yang disediakan oleh jawatankuasa masjid atau surau untuk tujuan penyenaraian dan penilaian,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Tosrin berkata, jawatankuasa masjid dan surau akan memastikan kedua-dua solat itu dilangsungkan mengikut garis panduan Jabatan Agama Islam negeri serta prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ini termasuk mengekalkan SOP agar orang ramai membawa sejadah sendiri dan dinasihatkan mengambil wuduk di rumah masing-masing.

Tosrin berkata, pelaksanaan aktiviti selain solat Jumaat dan solat fardu pula masih belum dibolehkan.

Sementara itu, Tosrin berkata umat Islam di negeri ini turut dibenarkan menziarahi tanah perkuburan selagi mematuhi SOP penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Tempoh ziarah hanya bermula dari 8 pagi sehingga 6 petang, kecuali urusan pengebumian jenazah,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button