Berita Utama

Muhyiddin fokus tadbir negara, tak main politik semata-mata

PM jarang bidas pembangkang walaupun dikritik teruk: Penganalisis

BANGI, 18 Syawal 1441H, Rabu – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat cekap bekerja dalam menyampaikan mesej yang cepat dan tepat, paling penting tidak bercakap kosong kepada rakyat, kata penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Sepanjang 100 hari pentadbirannya, Muhyiddin menyerlahkan wataknya yang kurang bercakap dan pemimpin nombor satu negara itu tidak pun berjanji politik semata-mata.

Prof Nik Ahmad Kamal berkata, Muhyiddin jarang sekali membidas pihak pembangkang walaupun beliau dan kerajaannya teruk dikritik.

“Malah beliau berjiwa besar dan masih cuba untuk berdamai dan bertemu dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad namun gagal.

“Ramai menganggap bahawa ini adalah gerak taktikal dalam politik namun itulah karakter Muhyiddin dan cara beliau sering menenangkan suasana yang panas,” katanya seperti dilapor Bernama

Sementara, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn, Dr Mohd Akbal Abdullah berkata, sepak terajang dalam dunia politik seakan telah sebati dalam darah Muhyiddin baik daripada kawan mahupun lawan.

Ia sekali gus menjadi tonik untuk kekal fokus mentadbir negara dan bukannya bermain politik semata-mata, katanya

“Kemahiran unggul beliau ialah cepat menyedari kebaikan kawan dan kelebihan lawan. Dengan keadaan begini beliau akan dihargai kawan dan disanjungi lawan,” katanya.

Semalam, genap 100 hari pertama Muhyiddin menerajui pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri dengan menggalas tanggungjawab paling besar di saat negara dilanda krisis COVID-19 yang bukan sahajamenjejaskan kesihatan, bahkan melemahkan sektor ekonomi.

Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sekali gus mengakhiri kemelut politik negara pada Februari lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close