Berita Utama

Perak benar solat fardu berjemaah mulai Jumaat

Jemaah tidak lebih 40, tak termasuk pegawai masjid dan AJK Kariah

IPOH, 18 Syawal 1441H, Rabu – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah memberi perkenan untuk membenarkan solat fardu berjemaah diadakan di semua masjid dan surau di negeri ini bermula Jumaat ini (12 Jun), selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, kebenaran itu juga berlandaskan kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kebenaran melaksanakan solat fardu berjemaah bermula pada Jumaat ini (12 Jun) dengan bilangan ahli jemaah melaksanakan solat berjemaah pada setiap solat fardu di masjid dan surau hendaklah tidak melebihi 40 orang, tidak termasuk pegawai masjid dan ahli jawatankuasa (AJK) Kariah,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga berkata bilangan jemaah yang dibenarkan menghadiri solat Jumaat di masjid dan surau diri Jumaat pula ditambah dari 12 kepada 40 orang tidak termasuk pegawai masjid dan AJK Kariah.

Kehadiran menunaikan solat berjemaah pada setiap solat fardu dan solat Jumaat sebelum ini hanya dibenarkan kepada warganegara selain identiti para jemaah hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Shahrul Azam berkata penggunaan masjid, surau diri Jumaat dan surau untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu perlu mengikut garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM.

Mengulas lanjut, beliau berkata Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini pelaksanaan Solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri ini dan selanjutnya menyelia dan memastikan garis panduan itu dipatuhi.

Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuatkuasa serta merta sepanjang PKPP sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk, katanya.

Pada 14 Mei lepas, Sultan Nazrin telah memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat di negeri ini pada 15 Mei dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang, termasuk imam dan khatib. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close