Berita Utama

Kenyataan PM mungkin Siam boleh tuntut Kedah tonjol pemikiran lemah

Anwar patut tegas dengan sejarah, tiada asas Siam tuntut Kedah pula

BANGI, 20 Zulkaedah 1444H, Jumaat – “Gila betul. Saya ingat naratif ‘Siam boleh tuntut Kedah’ ini datang dari cybertrooper bodohan prokerajaan yang sedang terdesak.

“Rupanya Perdana Menteri sendiri sebut dalam Parlimen dengan begitu yakinnya. Tak sangka sebegini lemah rupanya level jati diri Perdana Menteri kita. Sangat memalukan.”

Demikian kritikan jurucakap Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan dakwaan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang masih hak Kedah, dengan kemungkinan kerajaan Thailand menuntut perkara sama berdasarkan sejarah lampau.

Terdahulu, Anwar menggesa Menteri Besar Kedah atau mana-mana pemimpin tidak lagi membicarakan isu tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tuntutan dan percubaan untuk merungkaikan perjanjian kedaulatan sedia ada boleh menyebabkan pihak lain seperti kerajaan Thailand yang dahulunya Siam menuntut wilayah Kedah atau Perlis berdasarkan perjanjian silam.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Aminuddin bagaimanapun menegaskan, sepatutnya Anwar sebagai Perdana Menteri yakin dan tegas dengan sejarah dan tidak perlu bimbang sekiranya Siam mahu membuat tuntutan.

Bahkan, beliau perlu berani berhadapan atas prinsip ‘berani kerana benar’.

“Kalau Siam nak tuntut Kedah sekali pun, atas asas apa? Apakah Anwar lupa atau tidak tahu yang Siam pernah menakluki Kedah dahulu adalah melalui pengkhianatan dan penipuan? Anwar risau mereka nak tuntut celah macam mana pula sekarang?

“Atau sebenarnya dalam otak Anwar penuh, likat dan pekat dengan naratif sejarah British kononnya Siam dan British adalah watak-watak baik belaka?

“Apakah yang jahat adalah orang Melayu pula? Kesian nenek moyang kita di Kedah. Begitu sekali sejarah tragik mereka diputar-belit padahal begitu teruk sekali generasi mereka disembelih melalui komplot jahat British dan Siam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Membidas lagi, Aminuddin mengingatkan Ahli Parlimen Tambun itu supaya tidak beria-ria mengulas isu ini di Dewan Rakyat.

“Isu Pulau Pinang-Kedah ini kamu tak perlu ‘try hard’ sangat nak komen sampai bawa masuk Parlimen. Malah, kamu tu Perdana Menteri. Segala apa yang kamu merepek pasti akan memberi kesan kepada negara.

“Kamu sudahlah ‘hangit’ merepek-repek dalam isu kalimah Allah sampai semua benda jadi tunggang langgang. Jangan pula nak cuba-cuba merepek bab sejarah negara pula,” bidasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button