Berita Utama

Sekolah dibuka 24 Jun untuk pelajar SPM, STPM, SVM dan STAM

Juga pelajar duduki peperiksaan awam, antarabangsa yang setara

PUTRAJAYA, 18 Syawal 1441H, Rabu – Semua sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun ini namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata ini membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Katanya Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah telah diedarkan ke sekolah-sekolah pada 4 Jun lepas sebagai panduan agar persiapan rapi dapat dibuat sebelum sesi persekolahan bersambung kembali.

Katanya, ibu bapa dan penjaga harus memastikan kesihatan anak masing-masing sebelum menghantar mereka ke sekolah.

“Selain murid, pemeriksaan suhu badan juga dibuat terhadap guru, warga sekolah dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah. Jika suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius atau bergejala, (mereka) tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah,” katanya.

Bercakap pada sidang media khas perkembangan pembukaan sekolah di sini hari ini, Mohd Radzi menjelaskan meja di dalam kelas perlu disusun berselang satu meter dengan kapasiti maksimum untuk sesebuah kelas selepas mengambil kira jarakan sosial tidak melebihi 20 pelajar.

Bagaimanapun katanya, kapasiti lebih tinggi dibenarkan untuk ruang yang lebih besar seperti dewan sekolah.

“Waktu rehat adalah secara berperingkat dengan makanan dan minuman akan siap dibungkus dan murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru,” katanya.

Menteri Kanan itu juga menggalakkan ibu bapa atau penjaga menyediakan bekal makanan untuk anak masing-masing.

Aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka serta perhimpunan sekolah tidak dilaksanakan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, katanya.

Bagi sekolah berasrama, hanya pelajar kelas peperiksaan awam yang akan kembali ke asrama.

“Katil-katil disusun pada jarak satu meter dan bilangan katil bagi setiap bilik adalah bergantung pada keluasan bilik dan penggiliran waktu makan akan dilaksanakan mengikut bilangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata garis panduan itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut keperluan dan kesesuaian.

Pembukaan semula sekolah pada 24 Jun ini melibatkan 500,444 pelajar kelas peperiksaan di 2,440 sekolah di seluruh negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button