Berita Utama

SPR sedia hadapi pilihan raya

Hadkan bilangan pengundi kepada 400 orang setiap saluran

PUTRAJAYA, 18 Syawal 1441H, Rabu  – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia mengadakan pilihan raya walaupun proses itu perlu disesuaikan dengan langkah kawalan pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Azhar Harun berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini pada 4 Julai ini akan menjadi panduan bagi mengadakan pilihan raya dalam situasi wabak COVID-19 ketika ini.

“Kami berwaspada dan keadaannya mencabar tapi kami bersedia,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu termasuk penjarakan sosial, penggunaan topeng muka, sanitasi tangan serta pemeriksaan suhu badan.

Azhar berkata, SPR dalam proses untuk menyediakan inisiatif lain bagi memastikan keselamatan pengundi dan juga petugas pilihan raya.

“Sekiranya anda batuk atau mengalami suhu badan yang tinggi, anda perlu pergi ke khemah khas dan kakitangan di sana yang memakai kelengkapan pelindung diri akan membantu anda,” katanya.

Beliau seperti dilapor portal tempatan berkata, khemah khas itu akan didirikan di 13 pusat mengundi di Chini.

Azhar berkata, SPR sedang mempertimbangkan slot masa untuk mengatur pengundi, bagi memastikan tiada kesesakan semasa hari mengundi.

Katanya, sasaran SPR adalah mengehadkan bilangan pengundi kepada 400 orang setiap saluran.

“Jadi pengundi digalakkan untuk datang mengundi pada masa tertentu. Kami hanya boleh mengalakkan dan tidak boleh paksa, kerana pengundi berhak untuk datang bila-bila masa antara 8 pagi dan 5.30 petang,” katanya.

Pada masa sama, Azhar turut memaklumkan bahawa syarat kesihatan baru itu bermakna parti politik dan calon mesti fikirkan cara baru untuk berkempen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close