Berita Utama

Syor pengetua diberi kuasa rancang persiapan buka sekolah

Pertimbang isu guru hadapi masalah jaga anak-anak sekolah rendah

BANGI, 18 Syawal 1441H, Rabu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mengesyorkan supaya pengetua atau guru besar diberi kuasa autonomi untuk merancang persiapan pengurusan pembukaan semula sekolah, dengan mengambil kira fleksibiliti dan kesesuaian sekolah masing-masing.

Cadangan itu susulan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin hari ini mengumumkan pembukaan semua sekolah di seluruh negara mulai 24 Jun ini.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, kuasa autonomi berkenaan termasuk pengetua atau Guru Besar perlu mempertimbangkan isu guru-guru yang menghadapi masalah penjagaan anak-anak sekolah rendah, terutamanya bagi suami isteri yang pergi bekerja.

“Hal ini bagi mengelakkan guru-guru merasa terbeban dalam menjalani kehidupan normal baharu di dalam proses PdP (Pengajaran dan Pembelajaran).

“Ia juga bertujuan untuk memastikan pelajar-pelajar melalui proses pembelajaran dengan baik serta sekolah dapat beroperasi dalam keadaan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, semua sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun ini namun hanya membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini, kata Mohd Radzi.

Beliau berkata, ini membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Katanya, Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah (GPPPSS) telah diedarkan ke sekolah-sekolah pada 4 Jun lepas sebagai panduan agar persiapan rapi dapat dibuat sebelum sesi persekolahan bersambung kembali.

Menyambut baik pengumuman itu, Ustaz Azizee berkata, disiplin semua pihak termasuk para pentadbir, guru, ibu bapa serta pematuhan kepada GPPPSS adalah indikator untuk pembukaan sesi persekolahan bagi pelajar di tingkatan-tingkatan lain.

Justeru, beliau berkata, pihaknya menyeru semua guru supaya dapat memberikan sepenuh komitmen dan disiplin diri yang tinggi dalam melaksanakan tugas dengan sebaiknya, selain mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“iGuru berharap semua warga guru berasa gembira dan bersedia untuk memulakan tugas dalam suasana norma baharu dengan menekankan aspek keselamatan dan kesihatan, mematuhi segala SOP (Standard Operasi Prosedur) yang telah ditetapkan dan mengamalkan disiplin yang tinggi berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah.

“Pihak ibubapa juga perlu memberikan kerjasama yang baik dengan pihak sekolah untuk memastikan anak-anak yang hadir ke sekolah dapat mematuhi dan mengikuti segala SOP yang digariskan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close