Berita UtamaDunia

Thailand dijangka tarik balik perintah berkurung waktu malam

Tempoh percubaan 15 hari, namun darurat masih dikuat kuasa

BANGKOK, 18 Syawal 1441H, Rabu – Thailand dijangka menarik balik perintah berkurung waktu malam untuk tempoh percubaan selama 15 hari, namun darurat masih dikuat kuasa, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thailand Dr Taweesin Visanuyothin pada Rabu berkata, tempoh percubaan itu penting kerana ia menjadi penentu kepada masa depan Thailand dalam mendepani wabak dan bagaimana merancakkan kembali ekonomi.

“Percubaan selama 15 hari itu sebagai medan ujian untuk menilai tingkah laku masyarakat serta reaksi mereka dan melihat apakah gelombang kedua jangkitan berlaku selepas dua minggu,” kata Taweesin.

Beliau berkata, tarikh bila tempoh percubaan itu akan dilaksanakan masih belum diputuskan kemungkinan bermula Jumaat.

Perintah berkurung kini dikuat kuasa di seluruh Thailand dari 11 ​​malam hingga 3 pagi.

Thailand pada Rabu menyaksikan empat kes import COVID-19 membabitkan mereka yang baru pulang dari India, Pakistan dan Madagascar.

Setakat Rabu tiada kematian dicatatkan. Thailand mencatatkan jumlah kes jangkitan sebanyak 3,125 dengan 58 pesakit meninggal dunia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button