Berita Utama

Wakil rakyat PH ‘lelong barang busuk’ konon dapat mandat rakyat

PH patut salahkan Dr Mahathir, bukannya Perikatan Nasional

BANGI, 18 Syawal 1441H, Rabu – Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham kelihatan terdesak apabila menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kerajaan secara terhormat kepada PH Plus, kononnya gabungan itu mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Pemimpin DAP mendakwa, Muhyiddin tidak harus memohon pembubaran Dewan Rakyat kerana ia dapat menjimatkan RM100 juta wang rakyat untuk pembayaran pencen kepada anggota Kabinet Perikatan Nasional.

“Ia dilaporkan bahawa Muhyiddin dalam keadaan terdesak ini mungkin akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat dan meminta diadakan pemilihan baru.

“Saya menyeru kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menyerahkan dengan terhormat pemerintahan kerajaan kepada PH Plus boleh membuktikan bahawa mereka sudah mempunyai majoriti Ahli Parlimen yang berpihak kepada mereka,” kata Koo Ham seperti dilapor Suara Merdeka.

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pasir Puteh, Ustaz Sharipudin Ab Kadir berkata, wakil rakyat PH ini mulai lelong barang sudah buruk dan busuk kononnya mereka dapat mandat rakyat.

Sekiranya Pakatan Harapan (PH) mahu mengambil semula mandat rakyat, maka jalan yang tepat adalah melalui Pilihan Raya Umum (PRU) kerana senario politik negara telah berubah.

Mereka kena ingat, mengembalikan hak rakyat untuk menentukan semula kerajaan perlu dipilih, bukan hanya berdasarkan kepada dakwaan mereka semata-mata, apatah lagi setelah gagal dalam pemerintahan dalam tempoh 22 bulan.

“Jangan lagi lelong mereka mendapat mandat rakyat dalam PRU-14. Zaman dah berlalu. Itu hanya dakwaan mereka yang kecewa. Mereka mendakwa perjuangan mereka utamakan rakyat.

“Mandat rakyat perlu diambil semula melalui PRU kerana senario politik negara telah berubah. Sebahagian besar rakyat telah menolak PH,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Ustaz Sharipuddin berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sudah mengaku kegagalan menteri Kabinetnya.

“Sampai bila harus dibiarkan kegagalan tersebut. Hasilnya rakyat dan negara yang rugi,” katanya.

Jelas beliau, Perikatan Nasional dapat dibentuk menjadi sebuah kerajaan setelah PM kerajaan PH meletak jawatan.

Perikatan Nasional (PN) menerima pembentukan kerajaan sekarang adalah kerana mandat daripada Yang di-Pertuan Agong, bukannya PH menyerahkan kerajaan kepada PN.

“Sepatutnya PH meletakkan kesalahan itu kepada Dr Mahathir dan bukannya Perikatan Nasional.

“Yang peliknya kenapa sekarang Tun Mahathir rujuk semula kepada Majlis Presiden PH untuk ambil semula jawatan PM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button