Berita Utama

PEMBELA ajak umat Islam tuntut bela kematian Allahyarham Irwan

Turut desak kerajaan Pahang bekukan lesen penjualan arak

BANGI, 19 Syawal 1441H, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Pahang mengajak umat Islam bersama-sama menuntut keadilan ke atas kematian Allahyarham Irwan Herman Kamarudin yang maut selepas keretanya dirempuh kenderaan dipandu melawan arus pada 25 Mei lalu.

“PEMBELA melalui PEMBELA negeri Pahang akan bersama-sama ahli keluarga bagi menuntut keadilan dan pembelaan sehingga selesai perbicaraan di mahkamah.

“Kita semua umat Islam wajib bersama bagi menuntut pembelaan di atas kes ini! Ayuh kongsi sebagai sokongan padu menuntut pembelaan,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Irwan Herman, 41, penyelia di Alam Flora Sdn Bhd, maut selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh kenderaan pacuan empat roda Toyota C-HR dipandu seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.

Siasatan awal polis mendapati kenderaan C-HR itu dipandu secara melawan arus sejauh tujuh kilometer dari susur masuk Jalan Pintasan Kuantan di Semambu sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang dalam perjalanan ke Gebeng, Kuantan, untuk bekerja syif malam pada hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian jam 9.38 malam itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Terdahulu, PEMBELA menyerahkan surat rasmi untuk menuntut permohonan lesen penjualan arak di Pahang dibekukan serta mengkaji semula lesen sedia ada bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan dan kerosakan dalam negara.

Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masrizi Sat memaklumkan, surat berkenaan diserahkan kepada Menteri Besar Pahang melalui Setiausaha Politik beliau.

“Saya harap surat ini dapat diteliti oleh Menteri Besar dan khususnya barisan exco yang memegang pihak berkuasa tempatan (PBT). Saya memohon tindakan yang lebih kukuh, drastik dan tegas dalam isu pemandu mabuk, kepada keluarga mangsa yang memerlukan pembelaan serta industri arak yang semakin berleluasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button