Berita Utama

Hubungan rapuh Tun M, Anwar punca PH peroleh 107 sokongan

Pendedahan Anwar buka pekung bahawa PH tak berdaya saingi PN

KUALA LUMPUR, 19 Syawal 1441H, Khamis – Pengakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai jumlah sokongan 107 Ahli Parlimen benar-benar membuka pekung di dada bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah tidak berdaya untuk menumbangkan Perikatan Nasional (PN).

Menurut penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff, segala usaha pembangkang itu sedikit sebanyak turut memberi ‘kesedaran’ kepada penyokong mereka untuk tidak terlalu obses dengan parti berkenaan.

“Bila Anwar dah umumkan jumlah sebenar, ia bagus kerana boleh menyedarkan penyokong mereka yang keterlaluan dalam menggembar-gemburkan kononnya PN akan jatuh.

“Penyokong mereka boleh berhenti berharap, dan pembangkang juga boleh fokus kepada tugas sebenar dengan memperkukuhkan gabungan PH itu sendiri, kemudian baru fikirkan sasaran yang seterusnya untuk memperoleh mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya kepada PNBBC Portal.

Tambah beliau, hubungan di antara Anwar dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga antara punca mengapa mereka tidak memperoleh sokongan lebih daripada 107.

“Hubungan Datuk Seri Anwar dan Tun Mahathir sendiri pun rapuh, walaupun mereka cuba menyembunyikan perkara itu dari orang ramai, tapi mereka gagal. Ini juga menjadi punca mengapa jumlah sokongan yang diperoleh hanyalah 107 sahaja,” jelasnya lagi.

Berikutan itu, perkara ini akan memberi kelebihan kepada PN untuk Ahli Parlimen lain untuk terus menyokong kerajaan hari ini sebagai pentadbir negara.

“Mereka (Ahli Parlimen) tahu bahawa kerajaan PN sukar dijatuhkan, mendapat sokongan majoriti rakyat, Yang di-Pertuan Agong, jadi apa yang mereka dapat kalau terus menyokong PH yang belum tahu lagi ke mana hala tujunya.

“Itu belum masuk isu calon PM lagi, ramai yang akan kusut kepada tentang hal ini,” ujarnya.

Mengulas tentang dakwaan Anwar yang menyatakan jumlah sokongan 107 itu tidak termasuk Ahli Parlimen Bebas dan beberapa pihak lain, Kamarul Zaman berkata ia kenyataan yang benar-benar tidak relevan.

“Ahli Parlimen Bebas ada berapa? Pun masih belum cukupkan jumlah untuk jatuhkan PN. siapa pula pihak lain?

“Jadi pada saya, kenyataan dia ini cuba untuk menghiburkan hati penyokong yang terkejut dengan pendedahan yang dibuat, dikira juga sebagai sokongan moral untuk terus memberi kekuatan yang rapuh kepada PH,” ujarnya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button