Berita Utama

8 warga China ditahan disyaki terbabit sindiket dalam talian

Polis temu rekod transaksi pemindahan wang pelbagai bank ke China

JOHOR BAHRU, 19 Syawal 1441H, Khamis – Polis menahan lapan warga China yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian menerusi satu serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Indah di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata suspek berusia 30 hingga 40-an terbabit, merangkumi lima wanita dan tiga lelaki, diberkas oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.

“Menerusi operasi pada 7.30 malam itu, polis merampas pelbagai peralatan seperti komputer, komputer riba dan telefon bimbit.

“Polis juga menemui rekod transaksi pemindahan wang pelbagai bank ke negara China namun nilai sebenar transaksi itu masih dalam analisis kerana membabitkan akaun luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Dzulkhairi berkata kesemua suspek kini direman selama 14 hari sehingga 22 Jun untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button