Berita Utama

Warga emas didenda RM6,000 memandu mabuk

Mengaku bersalah, bakal dipenjara jika gagal bayar denda

PORT DICKSON, 19 Syawal 1441H, Khamis – Seorang lelaki warga emas didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol, 6 Jun lepas.

Majistret Siti Huzaifah Abd Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Syed Mahmood Syed Nazimuddin, 71, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kenderaan jenis Mercedes di bawah pengaruh alkohol iaitu 211 miligram (mg) di dalam 100 mililiter (ml) darah iaitu melebihi had ditetapkan 80 mg di dalam 100 ml darah ketika ditahan di Jalan Kampung Baru Sirusa, di sini, pada pukul 11.05 malam, 6 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button