Berita Utama

Ada polis jadi petualang sindiket seludup migran: KPN

Tiada kompromi, tindakan tegas diambil bawah perundangan jenayah

BANGI, 19 Syawal 1441H, Khamis – Hasil maklumat dan risikan mendapati terdapat beberapa anggota polis dipercayai terbabit dalam kegiatan sindiket penyeludupan migran, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, terdapat dalam kalangan anggotanya menjadi petualang bagi mendapat habuan wang dengan membantu sindiket terbabit.

Abdul Hamid menegaskan bahawa pihaknya sama sekali tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan dan tindakan tegas akan diambil bukan sahaja dalam isu penyeludupan migran tetapi di bawah undang-undang jenayah kerana melakukan penyelewengan.

“Siasatan masih dijalankan, bila cukup bukti kita akan ambil pendakwaan. Ini bukan kes tatatertib yang dikenakan tindakan dalaman, tidak… kita akan dakwa ikut undang-undang dan kita anggap sebagai pengkhianat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Abdul Hamid memaklumkan, pihaknya kini telah menempatkan sekatan jalan raya di beberapa lokasi strategik yang menjadi laluan sindiket penyeludupan migran terbabit di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, sekatan jalan raya ini dilakukan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengekang kegiatan sindiket ini.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berubah menjadi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tidak bermakna saya tarik semua sekatan jalan raya,” kata beliau.

Selain itu katanya, satu pasukan khas juga ditubuhkan di bawah seliaan ATM membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), PDRM serta ATM untuk menangani isu migran dengan lebih bersepadu.

“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di bawah Ops Benteng Covid adalah untuk membantu pasukan khas ini. Ada maklumat, kita akan tangkap di mana terdapat individu yang terbabit sebagai tekong, ejen, ‘transporter’ termasuk yang berperanan menempatkan warga asing di rumah kampung atau hotel bajet,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button