Berita Utama

Bakal jemaah tahun ini diberi keutamaan tunai fardu haji 2021

Jemaah haji giliran 2021, turut diberi peluang ikut kekosongan kuota

KUALA LUMPUR, 19 Syawal 1441H, Khamis – Semua bakal haji yang giliran haji diperuntukkan pada musim haji tahun ini akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata bagi bakal haji yang gilirannya pada 2021, mereka akan turut diberi peluang tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa.

“TH akan menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1441H/2020M selaras dengan keputusan kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar jemaah haji negara ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengumumkan Malaysia menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji ini ke tahun hadapan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pandemik COVID-19 telah menimbulkan risiko kesihatan awam yang serius di seluruh dunia dengan wabak itu menjangkiti lebih 7.4 juta orang manakala lebih 418,000 terkorban. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button