Berita Utama

CUEPACS gesa TNB nilai kembali pemberian diskaun

Kadar penggunaan rendah menikmati diskaun lebih banyak

KUALA LUMPUR, 19 Syawal 1441H, Khamis – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB) menilai kembali kadar diskaun bil elektrik yang ditawarkannya kepada pengguna sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata berdasarkan tawaran diskaun pada 50, 25, 15 dan dua peratus mengikut kadar penggunaan itu, hanya pelanggan yang mempunyai kadar penggunaan rendah menikmati kadar diskaun yang lebih banyak.

“Hanya sedikit sahaja yang layak menikmati kadar diskaun maksimum kerana TNB sendiri telah menjangkakan kadar penggunaan lebih tinggi disebabkan orang ramai banyak menghabiskan masa di rumah. Pada pandangan CUEPACS, kadar diskaun perlu diberikan sekitar 25 peratus hingga 50 peratus daripada jumlah bil tanpa mengambil kira jumlah penggunaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, inisiatif itu dapat membantu semua pihak dalam situasi rakyat yang terhimpit akibat penularan COVID-19 termasuk kehilangan kerja dan punca pendapatan ketika PKP.

Bernama pada 8 Jun melaporkan lebih 80 peratus pelanggan TNB mendapat diskaun antara 15 dan 50 peratus mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt (kw) sebulan dari tempoh 1 April hingga 30 Sept 2020.

Di bawah pakej PRIHATIN, syarikat utiliti tersebut menawarkan diskaun 50 peratus bagi penggunaan tenaga bawah 200 kw, 25 peratus (201-300 kw) dan 15 peratus (301- 600 kw).

Kerajaan juga memutuskan untuk memberi diskaun dua peratus kepada semua pengguna lain dalam kategori perdagangan, perindustrian dan pertanian spesifik serta pengguna domestik bagi penggunaan elektrik pada tempoh tersebut.

Adnan juga berkata TNB perlu memberi perhatian serius terhadap isu itu bagi mengelakkan kekeliruan atau penindasan kepada rakyat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button