Berita Utama

Umat Islam rugi andai MN terkubur

MN bukan setakat ‘anugerah’ tetapi penyelamat masa depan agama, bangsa dan negara

BANGI, 23 Ramadan 1443H, Isnin – Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengakui berasa bimbang sekiranya kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) yang dikatakan sebagai ‘anugerah Allah’ tidak digunakan sebaik-baiknya.

Beliau yakin anugerah ini amat bermakna dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

“Pada hemat saya, MN bukan setakat ‘anugerah’ tetapi penyelamat masa depan agama, bangsa dan negara.

“Bukan setakat jangka pendek berdepan dengan PRU15, tetapi demi jangka masa panjang. Memastikan masa depan agama, bangsa dan negara terus berada dalam keadaan selamat,” katanya menulis di kolumnis Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pandangan optimis dan proaktif Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berhubung perkara itu ternyata agak berbeza sekali dengan pemimpin UMNO lain yang sedang memimpin parti pada hari ini, dengan mengatakan bahawa MN sudah ‘mati’ serta perlu ‘ditalkinkan’.

“Jangan kerana kemenangan beberapa pilihan raya negeri (PRN) menjadikan kita alpa. Menang kalah semua itu berada dalam perancangan Allah. Hari ini berkuasa, esok belum tentu,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa sekarang bukan masa untuk kedua-dua parti majoriti Melayu itu menyalahkan satu sama lain, sebaliknya adalah masa biduk lalu kiambang bertaut.

“Justeru, pastikan MN tetap mekar dan subur.

“Bajailah ia meskipun kadangkala layu, kerana jika terkubur, paling rugi adalah kita umat Islam. Sudah tentu paling beruntung adalah MCA, Gerakan, MIC dan DAP kerana mereka menang atas angin disebabkan kemelut sesama kita. Renungkanlah,” katanya.

Pautan terdahulu;

MN bukan sekadar ‘anugerah Allah’ tapi penyelamat agama, bangsa dan negara

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button