Berita Utama

Garis panduan ibadah korban diumum dalam masa terdekat

SOP sedang ditambah baik, dapat pandangan jawatankuasa fatwa

KUALA LUMPUR, 19 Syawal 1441H, Khamis – Prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban serta solat sunat Hari Raya Aidiladha semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata SOP itu kini dalam proses penambahbaikan termasuk mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Insya-Allah, mungkin dalam seminggu atau dua minggu lagi kita boleh bentangkan SOP terakhir ibadah korban,” katanya pada sidang media di Technology Park Malaysia, hari ini.

Terdahulu beliau mendengar taklimat dan menyaksikan demonstrasi penyembelihan lembu menggunakan sangkar penyembelihan mudah alih hasil projek inovasi Yayasan Inovasi Malaysia. Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Mengenai sangkar penyembelihan mudah alih itu, Zulkifli berkata beliau akan berbincang dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk dilaksanakan di kawasan Wilayah Persekutuan sebagai projek perintis.

Sangkar penyembelihan mudah alih yang dibangunkan pada 2013 itu memudahkan proses penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu kerana dapat dilakukan dengan lebih cepat dan tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button