Berita UtamaIstimewa

Mana strategi ekonomi, pendidikan, masa depan penduduk majoriti?

Kebanyakan ahli politik Melayu lebih pentingkan diri, parti

BANGI, 6 Muharram 1442H, Selasa – Di mana strategi 10 tahun, 20 tahun dan 100 tahun untuk ekonomi, pendidikan dan masa depan umat yang menjadi tunggak majoriti kepada negara ini?

Demikian persoalan dibangkitkan Naib Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin susulan tindakan kerajaan yang tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular, demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique ketika memberikan jaminan itu berkata, usaha memupuk perpaduan negara dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia berupaya dirintis menerusi kaedah lain.

Katanya, kerajaan ketika ini menggiatkan inisiatif untuk menyuntik kesedaran berhubung kepentingan perpaduan dengan menghayati aspek rukun negara bermula di peringkat awal.

“Oleh itu, kita jalin kerjasama strategik dengan tiga kementerian lain, iaitu Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Ini kerana dalam usaha untuk kita kukuhkan perpaduan, ia harus bermula dari asas, justeru penghayatan rukun negara perlu dilaksanakan daripada pendidikan awal kanak-kanak. Kita sudah tubuhkan jawatankuasa teknikal, dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan (Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi) dan tiga kementerian lain.

“Selain itu, kita sudah gerakkan penubuhan Kelab Rukun Negara yang setakat ini ada 6,621 kelab di sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah jenis Tamil dan sekolah jenis Cina,” katanya.

Dr Zainur Rashid mendakwa parti perkauman MCA, DAP, Gerakan, serta pertubuhan Cina seperti Dong Zong dan Hua Zong berjaya kerana mereka bersepakat.

Bahkan dakwanya, pertelingkahan mulut di media adalah lakonan dengan penuh kebijaksanaan.

“Kebanyakan pemimpin politik Melayu lebih mementingkan diri sendiri dan parti yang didukung, daripada memperjuangkan masa depan agama, bangsa dan negara.

“Lihatlah apa yang terjadi kepada Tanah Rizab Melayu yang hanya tinggal 12 peratus di seluruh negara, manakala di Kuala Lumpur pula hanya tinggal satu peratus.

“Yang telah dapat kuasa, apa lagi yang nak ditunggukan?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button