Berita Utama

Empat pasukan khas tangani banjir Monsun Timur Laut

‘Fokus keperluan air bersih, logistik, ubatan, peralatan dan komunikasi'

BANGI, 25 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Empat pasukan khas di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) akan digerakkan bagi menghadapi bencana banjir susulan Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula Sabtu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, empat pasukan tersebut membabitkan Pasukan Perubatan, Pasukan Kesihatan, Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) dan Pasukan Rapid Assessment Team (RAT) dan Rapid Response Team (RRT).

“KKM sentiasa bersiap sedia untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir dan bagi mencegah penularan penyakit berjangkit.

“Pasukan Perubatan akan berperanan melawat dan memberi rawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala Pasukan Kesihatan akan melakukan pemantauan, pencegahan, dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.

“Manakala MHPSS pula bagi memberikan dan menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas dan RAT serta RRT bertanggungjawab membuat penilaian dan memberi respon bagi mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata, KKM sentiasa memastikan anggota dan pasukannya sentiasa bersedia bagi menghadapi bencana banjir.

“Keperluan air bersih, logistik, ubatan, peralatan dan komunikasi juga akan diberi perhatian bagi kelangsungan perkhidmatan kesihatan ketika bencana.

“KKM juga akan mengemaskini senarai fasiliti kesihatan berisiko banjir dan fasiliti alternatif untuk beroperasi bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan kesihatan semasa banjir,” katanya.

Dalam pada itu, KKM juga akan memastikan golongan berisiko tinggi seperti kes antenatal dan penyakit kronik yang memerlukan rawatan kritikal dikenal pasti dan dipindahkan awal bagi mengelakkan terputus rawatan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama keperluan untuk berpindah awal.

Katanya, persediaan berkenaan dilakukan bagi mengelakkan sebarang kesulitan serta mengelak daripada berlakunya kemalangan dan kehilangan jiwa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button