Berita Utama

Jangan puji sakan rakan politik hingga halang maslahah Islam

Pertahan tahaluf politik secara berlebih sering kali makan diri

BANGI, 19 Syawal 1441H, Khamis – Parti politik diingatkan supaya tidak bersikap berlebih-lebihan dalam memuji serta mempertahankan rakan kerjasama sehingga menjadi penghalang untuk bertegas dengan prinsip, demi mencapai maslahah Islam yang dijadikan asas tahaluf. 

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, perkara penting bukanlah memuji atau mempertahankan rakan kerjasama, tetapi memastikan maslahah Islam yang dijadikan asas tahaluf itu tercapai. 

Beliau berkata, jika mahu bekerjasama dengan mana-mana parti, maka buatlah demi maslahah Islam berdasarkan hala tuju dan pendirian zahir parti berkenaan. 

“Bekerjasama kerana bersama-sama mahu mengembalikan kuasa politik di tangan orang Islam. Itu maslahah yang diperintahkan Allah.

“Tetapi tidak perlu memuji sakan rakan kerjasama. Sama ada dia benar-benar bertaubat atau tidak, itu bukan urusan kita. 

“Tak perlu juga puji sakan kefasihannya bertutur bahasa Melayu kerana yang demikian itu perkara biasa sepatutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Ustaz Mohd Hazizi berkata, perbuatan berlebih-lebihan memuji dan mempertahankan rakan kerjasama serta tahaluf politik sudah sering kali memakan diri kerana parti berubah mengikut kepentingan masing-masing. 

“Jangan pula tindakan memuji dan mempertahankan berlebih-lebihan itu menjadi batu penghalang untuk bertegas dengan prinsip demi mencapai maslahah Islam yang dijadikan asas kerjasama dan tahaluf. 

“Isu arak, UEC, sekolah vernakular, keberadaan pelancong China dan India secara haram, semuanya mafsadah yang mampu meruntuhkan prinsip mendaulatkan Islam dan menjamin kuasa politik Melayu pada masa depan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close