Berita Utama

Jemaah solat Jumaat, fardu di Selangor ditambah kepada 40 orang

Libat 39 masjid terpilih di seluruh negeri bermula esok

SHAH ALAM, 19 Syawal 1441H, Khamis – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dilakukan dengan 40 jemaah, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, di 39 masjid terpilih di negeri itu bermula esok.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata Sultan Sharafuddin membuat keputusan itu selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Baginda juga berkenan agar jumlah jemaah bagi solat Jumaat ditambah daripada 12 orang kepada 40 orang, tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid di 39 masjid yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Kad akan diedarkan kepada 40 orang jemaah untuk hadir pada solat Jumaat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi umat Islam yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid, mereka hendaklah menggantikannya dengan solat zuhur di tempat masing-masing.

Bagi solat lima waktu pula hanya solat subuh, maghrib dan isyak dibenarkan berjemaah di masjid terpilih tersebut.

Mohamad Munir berkata semua surau di Selangor masih tidak dibenarkan dibuka kepada orang ramai kecuali kepada tiga pegawai surau seperti ditetapkan sebelum ini.

Tegas beliau, penggunaan masjid semasa solat Jumaat dan solat lima waktu berjemaah harus mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mohamad Munir berkata pegawai dan ahli jawatankuasa masjid diberi tanggungjawab penuh dalam mengendalikan dan menguatkuasakan garis panduan yang ditetapkan itu.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, polis dan JAIS akan melakukan pemantauan secara berterusan terhadap kesemua 39 masjid yang dibenarkan untuk solat Jumaat dan solat lima waktu berjemaah ini.

“Sehubungan itu, pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, jemaah yang hadir serta seluruh umat Islam di Selangor diminta mematuhi segala arahan dan mengamalkan disiplin yang tinggi pada setiap masa,” katanya.

Pada 14 Mei lepas, Sultan Selangor berkenan supaya solat Jumaat dilaksanakan di 39 masjid terpilih di negeri ini dengan jumlah jemaah tidak melebihi 12 orang merangkumi pegawai dan ahli jawatankuasa masjid susulan penurunan kadar jangkitan wabak COVID-19. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close