Berita Utama

Kerajaan PN perlu inklusif, babitkan NGO sebagai ‘check and balance’

Bantu kerajaan perjelas agenda sebenar mesti diperjuang

BANGI, 19 Syawal 1441H, Khamis – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran untuk menanam sifat inklusiviti dengan mengajak pelbagai pihak bagi menyertai blok itu termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Haji Aminuddin Yahaya berkata, NGO yang berperanan sebagai semak dan imbang (check and balance) akan membantu kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat agenda sebenar yang harus diperjuangkan dalam pentas politik negara.

“Ini sikap yang perlu ada dalam PN. Parti-parti dalam kerajaan terdahulu tidak menghiraukan nasib-nasib NGO.

“PN boleh berfikir dengan lebih matang. Sekarang tiada parti dominan dalam blok PN dan era UMNO bolot blok sudah berlalu,” katanya ketika temubual Perpaduan Ummah Pasca Perikatan Nasional di laman Facebooknya malam tadi.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin yang juga Presiden Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata, pihaknya akan tetap memainkan peranan terhadap polisi-polisi kerajaaan dan mempertahankan Perlembagaan.

Katanya, keutamaan akan diberi dengan menuntut hak-hak bangsa Melayu di negara ini.

Dari segi ekonomi, pihaknya akan menuntut dan mempersoal sebab kerajaan terdahulu tidak menyokong kempen Buy Muslims’ First (Utamakan Barangan Muslim)

Katanya, dari aspek perundangan pula, kenapa kes Muhammad Adib Mohamad Kasim yang dirempuh perusuh sehingga kini masih belum selesai.

Selain itu isu kalimah Allah, agama Islam sebagai agama Persekutuan juga kami akan pertahankan, bagaimana mahkamah Syariah darjatnya begitu rendah berbanding mahkamah sivil.

“Dari segi bahasa, sekarang ini orang tidak panggil bahasa Melayu tetapi yang ada Cuma bahasa Malaysia. Ada juga yang tidak kenal jawi. Jadi, kenapa tidak perjuangkan perkara-perkara ini?

“Walaupun kita terpaksa tegur dengan cara lembut dan keras, tetapi kita Cuma nak pastikan hak orang Melayu diabsahkan pada tahap sebagaimana Melayu perlu dominasi negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button