Berita Utama

Kerja pembaikan paip pecah di Klang, Kuala Langat selesai

Jangka bekalan air pulih sepenuhnya 2 pagi esok

KUALA LUMPUR, 19 Syawal 1441H, Khamis – Kerja-kerja pembaikan paip pecah di kawasan berhampiran Restoran KFC, Jalan Langat, Klang siap dilaksanakan pada 1.30 tengah hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, pihaknya menjangkakan pemulihan sepenuhnya bekalan air ke kawasan-kawasan itu pada 2 pagi 12 Jun.

“Sehingga 6 petang hari ini, kawasan terbabit di wilayah Klang, iaitu Bandar Bistari serta Batu 5 dan 6, Jalan Langat telah mula menerima bekalan air. Bagi wilayah Kuala Langat pula, kawasan Eco Santuary dan Tropicana Aman telah menerima bekalan air, manakala kawasan-kawasan lain masih dalam proses pemulihan.

“Bantuan air melalui lori-lori tangki terus giat digerakkan ke kawasan-kawasan yang masih belum menerima bekalan air,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor akan terus memaklumkan status bekalan air dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, Aplikasi Air Selangor serta laman sesawang rasmi di www.airselangor.com. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close