Berita Utama

Naib Presiden Warisan tiba di mahkamah bagi hadapi pertuduhan

Peter hadir berhubung tuduhan pengubahan wang haram libat Risda

KOTA KINABALU, 19 Syawal 1441H, Khamis – Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi menghadapi pertuduhan berhubung pengubahan wang haram melibatkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Peter yang berpakaian sut hitam tiba pukul 8.15 pagi dengan ditemani peguamnya Martin Tommy.

Hanya tiga wakil media termasuk Bernama dibenarkan masuk ke bilik bicara untuk mengikuti prosiding berkenaan, manakala pengamal media lain menunggu perkembangan di luar mahkamah.

Langkah itu bertujuan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan normal baharu menerusi amalan penjarakan sosial bagi mengekang penularan COVID-19.

Suasana di sekitar Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu setakat ini masih terkawal dan tinjauan Bernama mendapati pasukan polis bertugas mengawal kelancaran perjalanan prosiding selain memastikan semua penyokong mematuhi penjarakan sosial dan tidak berkumpul.

Semalam, Peter tampil di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bagi memberi keterangan kira-kira tiga jam berhubung kes itu.

Sebelum itu, beliau turut disiasat oleh SPRM Sabah pada Selasa mengenai beberapa projek berkaitan kerajaan negeri susulan terdapat laporan dibuat oleh pihak tertentu.

Peter yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap adalah seorang kontraktor sebelum beliau menceburi arena politik secara serius pada 2018 dengan menjadi wakil rakyat bagi kawasan berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close