Berita Utama

Perjuangan perangi COVID-19 masih belum berakhir

Rakyat diminta terus komited patuhi SOP jalani kehidupan

BANGI, 19 Syawal 1441H, Khamis – Perjuangan memerangi wabak COVID-19 masih belum berakhir, meskipun kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, rakyat hanya ada dua pilihan iaitu sama ada meneruskan perjalanan hidup seterusnya dengan norma-norma yang baharu atau bersedia untuk PKP semula akibat gelombang kedua.

“Semoga seluruh penduduk Malaysia, warganegara dan bukan warganegara akan terus komited untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKPP menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mulai 10 Jun, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD.

Antara pengumuman beliau berkaitan PKPP pada Ahad lalu ialah;

1. Perjalanan rentas negeri dibenarkan.

2. Aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan

3. Sambutan Aidiladha dan aktiviti korban dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

4. Sekolah akan dibuka secara berperingkat setelah dapat nasihat Kementerian Kesihatan.

5. Aktiviti komersial babitkan urusan jualan bukan dalam premis dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Perintah Pemulihan (PKPP).

6. Waktu operasi perniagaan akan beroperasi seperti biasa namun dengan pematuhan SOP.

7. Beberapa sukan dan aktiviti rekreasi akan dibenarkan kecuali sukan membabitkan sentuhan, penonton dan perhimpunan penyokong.

8. Sempadan negara masih ditutup.

9. Kelonggaran benarkan lebih ramai jemaah hadir ikut ruang keluasan masjid, rumah ibadat sedang diperhalusi kerajaan.

10. Pub, kelab malam, pusat karaoke, rumah terbuka tidak dibenarkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close