Berita Utama

PH bawa konsep orang Islam perlu beralah dengan non muslim

Gabungan itu sekadar kuda untuk DAP bela nasib bangsanya

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 19 Syawal 1441H, Khamis – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin diakui telah menunjukkan kecemerlangan dalam 100 hari mentadbir negara, kata Pengerusi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim.

Beliau berkata, rakyat mesti bijak dalam menilai memandangkan mentadbir negara dengan cabaran COVID-19 dan asakan Pakatan Harapan (PH) yang meratib hari-hari ingin berkuasa semula bukan suatu yang mudah bagi Muhyiddin, namun beliau berjaya.

“PH tiada agenda negara sebenar, ianya tidak lebih dari ingin berkuasa. Sebagai kerajaan 22 bulan, apa yang rakyat dapat? Hutang negara meningkat mendadak, keharmonian kaum semakin runcing, menteri yang bertanggungjawab langsung tidak ada idea lebih lagi tindakan dalam menjaga keharmonian kaum di Malaysia.

“Bahkan, konsep rahmatan lil alamin tersasar jauh dari tafsiran dan pemahaman yang sebenar, seolah-olah rahmah itu orang Islam hendaklah sentiasa mengalah dengan apa jua agenda orang bukan Islam di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengimbau kembali pentadbiran kerajaan PH, Ustaz Zamani mendakwa, menteri PH di kalangan DAP begitu rakus membantu bangsanya dari sudut kewangan di sekolah jenis Cina yang bukan sedikit nilainya.

“Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diperjuangkan malah dijadikan agenda utama. Sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, dia seolah-olah bukan menteri untuk semua tetapi menteri untuk bangsa Cina.

“Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pun pernah menyatakan keraguan kepada kemampuan barisan Kabinet dalam bekerja. Ini kerana hakikatnya bahawa barisan Kabinet beliau hanya pandai bercakap bukan buat kerja.

“Watak pembangkang terbawa-bawa sampai sudah jadi kerajaan malah wajah pembangkang itu dibawa dalam persidangan Parlimen,” katanya.

Dalam mengingatkan kelemahan kerajaan 22 bulan itu, Ustaz Zamani hairan apabila saat negara sudah mula dapat melepaskan diri dari COVID-19, selera tamak PH untuk berkuasa mula terserlah.

“PH bukan ada agenda negara pun, sekadar tak lebih seorang ingin menjadi Perdana Menteri. Parti bongsu dalam PH pula parti yang kenyang disusukan oleh DAP dan DAP pula ingin ‘mengkudakan’ parti dalam PH untuk mencapai matlamat dapat kuasa dan dengan kuasa itu mereka membawa agenda bangsanya,” dakwanya.

Sebelum ini, pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham mahu Muhyiddin menyerahkan kerajaan secara terhormat kepada PH Plus selepas gabungan itu mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Beruas itu berkata, Muhyiddin tidak harus memohon pembubaran Dewan Rakyat kerana ia dapat menjimatkan RM100 juta wang rakyat untuk pembayaran pencen kepada anggota Kabinet PN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button