Berita Utama

Polis mengaku tak bersalah minta, terima rasuah dari warga asing

Sebutan semula kes akan dibuat pada 16 Julai depan

SHAH ALAM, 19 Syawal 1441H, Khamis – Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada warga asing pada Disember tahun lepas.

Lans Koperal Shaiful Rizal Osman, 36, yang didakwa atas dua pertuduhan dan Konstabel Muhammad Zuhair Mazlan, 27, didakwa satu pertuduhan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama Shaiful Rizal, dia yang ketika itu bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh didakwa meminta suapan berjumlah RM5,000 daripada Atanan Jhebueraheng, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga warga asing iaitu Nordin Chebueraheng, Saifudin Madeng dan Hakimee Sabideng.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di IPD Sungai Buloh antara 10.40 malam pada 23 Dis 2019 hingga 1.33 pagi, 24 Dis 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua Saiful Rizal, dia dituduh bersama-sama Muhammad Zuhair yang ketika itu bertugas di IPD sama dengan niat menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada Nordin Chebueraheng sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas diri warga asing itu, Saifudin dan Hakimee.

Kedua-dua anggota polis berkenaan dituduh melakukan kesalahan tersebut di IPD Sungai Buloh antara 3.40 pagi hingga 4 pagi pada 24 Dis 2019 dan mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan itu, Shaiful Rizal dan Muhammad Zuhair boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab mencadangkan mahkamah menetapkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan untuk kedua-dua anggota polis itu.

Rozilah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan Shaiful Rizal manakala jaminan berjumlah RM8,000 ke atas Muhammad Zuhair serta perlu menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah.

Shaiful Rizal diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff manakala Muhammad Zuhair tidak diwakili peguam.

Sebutan semula kes pada 16 Julai depan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button