Berita Utama

Premis perniagaan di Pahang boleh operasi hingga 10 malam

MB harap rakyat tak hilang fokus, tumpu usaha bendung penularan COVID-19

BANGI, 19 Syawal 1441H, Khamis – Pahang kini membenarkan premis dan aktiviti perniagaan beroperasi bermula jam 7 pagi sehingga 10 malam, setelah mengeluarkan Garis Panduan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam. 

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri mengambil berat maklum balas khususnya dalam kalangan peniaga kedai makan dan persatuan-persatuan berkenaan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak serta agensi-agensi termasuk Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri. 

“Sukacita saya umumkan tempoh operasi semua premis dan aktiviti perniagaan kini bermula 7 pagi hingga 10 malam kecuali bagi sektor yang dibenarkan (perkhidmatan essential) mengikut kelulusan lesen perniagaan asal seperti stesen minyak, kilang dan klinik.

“Keputusan terbaharu ini saya harap memadai setakat ini. Semakan akan dibuat dari masa ke semasa berpandukan tahap ancaman wabak pandemik COVID-19 di Pahang dan menurut keperluan semasa, termasuk aspek kepatuhan rakyat terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang kerajaan tetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Justeru, Wan Rosdy berharap rakyat tidak hilang fokus sebaliknya terus memberi tumpuan dalam menjayakan langkah-langkah bagi membendung wabak pandemik yang masih menggugat kesihatan awam di dunia, negara dan negeri berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button