Berita Utama

Semua Mahkamah Syariah beroperasi mulai semalam

Perlu patuh segala garis panduan berkenaan keselamatan, kesihatan

KUALA LUMPUR, 19 Syawal 1441H, Khamis – Semua Mahkamah Syariah di seluruh negara beroperasi semula sepenuhnya semalam, kata Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Jun lepas.

Mohd Na’im berkata pihaknya sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan penyampaian perkhidmatan keadilan diteruskan serta operasi Mahkamah Syariah seluruh negara digerakkan selaras dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pihak saya akan memastikan Mahkamah-mahkamah Syariah di seluruh negara akan mematuhi segala garis panduan keselamatan dan kesihatan yang dikeluarkan.

”Bagi prosedur perbicaraan dan pengurusan kes lama ataupun baharu, pelanggan boleh merujuk mahkamah berdekatan kerana ia ditetapkan mengikut Jabatan Kehakiman Syariah Negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Na’im berkata JKSM bersama Mahkamah Syariah negeri-negeri seluruh negara telah mengeluarkan garis panduan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mei lepas melalui Mesyuarat Khas Ketua-Ketua Hakim Syarie berkaitan pengurus kes pasca PKP.

Beliau turut menasihati pelanggan yang mempunyai urusan di mahkamah supaya sentiasa memakai pelitup separuh muka, diwajibkan melalui imbasan suhu badan di laluan masuk yang ditetapkan serta perlu merekodkan kehadiran yang diletakkan di pintu masuk Mahkamah Syariah.

“Pelanggan yang mempunyai masalah kesihatan dan golongan berisiko dinasihatkan supaya tidak hadir ke mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, semua mahkamah syariah di seluruh negara ditangguh dan dilaksanakan secara dalam talian berikutan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lepas bagi membendung penularan wabak Covid-19.

PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button