Berita Utama

Teruskan amalan baik ketika COVID-19: Raja Perlis

Nasihati rakyat teruskan normal baharu diamalkan ketika ini

ARAU, 19 Syawal 1441H, Khamis – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menasihati rakyat agar meneruskan normal baharu yang diamalkan ketika semua pihak memerangi pandemik COVID-19 dengan mengetepikan perbezaan kaum dan agama mahupun pegangan politik.

“Kita tidak boleh ubah Malaysia demi kepentingan kita, tetapi kita berubah untuk Malaysia dan praktikkan apa yang baik telah dilakukan sebelum ini,” titah baginda pada Majlis Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di Balai Mengadap, Istana Arau di sini, hari ini.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Seramai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri hari ini.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berterima kasih kepada pasukan barisan hadapan yang berkorban demi menjaga kepentingan rakyat dalam usaha melawan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Pada masa sama, Raja Perlis meminta rakyat bersabar dengan kekangan yang dilaksanakan pada masa ini termasuk berhubung kebenaran mengerjakan solat berjemaah di masjid dan surau. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close