Dunia

21 maut bangunan di kem pelarian Gaza terbakar

Mahmoud Abbas isytiharkan satu hari berkabung

GAZA, 23 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan beberapa yang lain cedera dalam kejadian kebakaran di sebuah bangunan di Semenanjung Gaza, menurut pegawai kesihatan dan kecemasan awam.

Anggota bomba mengambil masa lebih satu jam untuk mengawal api besar di tingkat atas sebuah bangunan kediaman empat tingkat di kem pelarian Jabalia – yang padat penduduk di utara wilayah terkepung itu.

Kementerian Dalam Negeri Gaza berkata, siasatan awal mendedahkan, sejumlah besar petrol yang disimpan di tapak itu, menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat di bangunan berkenaan.

Menurut saksi, mereka mendengar jeritan mangsa di dalam bangunan namun tidak dapat membantu ekoran keadaan api yang sangat marak.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi buat negara dan memutuskan satu hari untuk berkabung.

Sementara itu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein Al-Sheikh berkata, pihak berkuasa Palestin (PA) menggesa Israel untuk membuka persimpangan Erez dengan Gaza untuk membawa kes serius menerima rawatan di luar wilayah.

“Presiden memberi arahan untuk menyediakan semua bentuk bantuan perubatan dan lain-lain dengan segera,” katanya di Twitter.

Jabalia adalah salah satu daripada lapan kem pelarian di Gaza yang menempatkan 2.3 juta orang dan salah satu kawasan paling padat penduduk di dunia.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button