59 PATI ditahan dalam Op Benteng
PATI kemuka dokumen perjalanan sah, kebanyakan bekerja di ladang

JEMPOL, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Seramai 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Op Benteng yang dijalankan di daerah ini di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, serbuan yang bermula dari jam 10.30 malam hingga 5.30 pagi itu dilakukan di beberapa rumah kongsi dan rumah kedai, yang menjadi tempat tinggal mereka di daerah berkenaan.
Katanya, kesemua mereka terdiri daripada 30 warganegara Indonesia, 20 Bangladesh dan sembilan warganegara India.
“Kesemua individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah sewaktu serbuan dilakukan dan kebanyakan mereka yang ditahan adalah pekerja ladang di sekitar Jempol,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Khairiel berkata, operasi berkenaan diadakan bagi membanteras kebanjiran pendatang tanpa izin selain mengekang penularan wabak COVID-19 membabitkan warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah.
Katanya, kesemua tangkapan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. -Bernama