Berita Utama

Bebas COVID-19 dahulu, baru buka sekolah rendah: iGuru

Laksana jadual anjal, keutamaan diberikan pada subjek teras

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Sekolah rendah boleh dibuka semula secara berperingkat jika negara sudah diisytiharkan bebas COVID-19, kata Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh mempertimbangkan untuk membuka sekolah rendah secara berperingkat selepas tamat fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos akan datang dengan mengambil kira nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam pada itu, Ustaz Azizee turut senada dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mencadangkan pembukaan sekolah rendah di seluruh negara dibuat sebelum berakhir September atau Oktober ini.

“Sekolah boleh dibuka sama ada bulan September atau Oktober 2020,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, iGuru menggesa pihak KPM menstruktur semula jadual persekolahan untuk memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) beroperasi dengan baik dan selamat serta menangani isu murid-murid keciciran sepanjang tempoh PKP.

“Pihak sekolah perlu merancang dengan baik serta mengurus normal baharu secara ketat dan berdisiplin terutama berkaitan keselamatan, kesihatan, penjarakan sosial dan pengurusan PdP di dalam kelas.

“Pelaksaanaan jadual anjal boleh dijalankan bagi mengatasi hal ini dengan keutamaan pada subjek teras. Tempoh waktu yang anjal dan boleh disingkatkan sehingga jam 12.00 tengahari,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau berkata, ibu bapa, guru dan murid-murid juga perlu mendapat maklumat yang jelas agar dapat melakukan persediaan yang secukupnya sebelum sekolah dibuka sepenuhnya atau secara berperingkat.

“Pematuhan kepada SOP dan Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah (GPPSS) hendaklah diikuti dan dipatuhi sepenuhnya,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun.

Pembukaan sekolah itu hanya membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa setara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button