COVID-19: KKMM sedia SOP anjur pameran, acara langsung
Bagaimanapun tak libat kehadiran pengunjung ramai

KUANTAN, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan pameran atau acara langsung di kawasan tertutup diadakan semula.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata pameran dan acara langsung berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan kehadiran pengunjung yang ramai sehingga menyukarkan pematuhan jarakan sosial.
Katanya SOP itu akan dibentangkan kepada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebaik selesai diperhalusi.
“Untuk peringkat awal ini kita cadangkan jenis pameran yang boleh dianjurkan ialah pameran business-to-business (B2B) yang lazimnya dibuat secara tertutup dan hanya melibatkan mereka yang ahli dalam bidang berkenaan.
“Perlu diingatkan apabila SOP diluluskan tidak bermaksud pameran akan terus diadakan kerana persediaan menganjurkan acara ini mengambil masa beberapa bulan, tetapi yang penting kita ada indicator tarikhnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Penyiaran Pahang, di sini hari ini. – Bernama