Berita Utama

COVID-19: Pesakit sembuh masih positif untuk jangka panjang

Mereka tidak bergejala, jatuh sakit atau sebar penyakit

PUTRAJAYA, 20 Syawal 1441H, Jumaat – Pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kebanyakan pesakit yang sembuh daripada jangkitan COVID-19 dan diuji menerusi ujian rt-PCR masih menunjukkan keputusan positif virus itu untuk jangka panjang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana ujian rt-PCR sangat sensitif dalam mengesan kehadiran protein virus.

“Walaupun mereka masih dikesan positif, mereka tidak bergejala, tidak jatuh sakit atau menyebarkan penyakit ini kepada keluarga terdekat. Hasil kajian kultur yang dilakukan berulang kali menunjukkan virus COVID-19 gagal dibiakkan.

“Justeru, KKM membuat kesimpulan bahawa keputusan positif COVID-19 bagi pesakit yang telah sembuh adalah berpunca daripada virus atau fragmen virus (deoxyribonucleic acid atau DNA) yang telah mati,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata penemuan serupa turut dilaporkan di beberapa negara termasuk Korea Selatan, China, Singapura dan Jerman.

Menurut Dr Noor Hisham, kajian di China menunjukkan kebolehjangkitan berlaku 2.3 hari sebelum bermula gejala dan berada pada tahap tertinggi 0.7 hari sebelum pesakit bergejala dan kebolehjangkitan menurun ke tahap yang sangat rendah selepas tujuh hari.

Kajian di Taiwan pula mendapati selepas lima hari pesakit dijangkiti COVID19, mereka tidak menyebarkan virus kepada kontak rapat yang terdedah kepada pesakit tersebut, katanya.

“Pemantauan ini adalah bertepatan dengan hasil siasatan yang mendapati bahawa tempoh berjangkit atau infectious period bermula dua hingga tiga hari sebelum gejala bermula dan kemuncaknya satu hari sebelum gejala.

“Tempoh berjangkit juga didapati menurun ke paras yang sangat rendah dalam masa tujuh hari selepas itu,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata KKM telah mengemas kini garis panduan discaj pesakit COVID-19 untuk pesakit yang bergejala dan tidak bergejala. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button